Tuesday, June 7, 2016

Kisah 17 : Rakan Sekerja Berhijab

BismillahirRahmaanirRahim.

08.06.2016 - Rabu

Hari ini, hari ke-3 Ramadhan.

Saya cuti bekerja pada hari pertama dan kedua Ramadhan, sambut puasa di rumah mertua.

Paginya, jam 7.35 saya sudah tiba di pejabat. 

Ada rakan yang mengucapkan selamat menyambut ramadhan dan ada juga yang mengucapkan selamat dan tahniah kerana bakal dapat adik ipar (adik saya bertunang pada sabtu, 4 Jun 2016).

Dalam sibuk membelek diari Boss dan menyemak email-email yang masuk, ada suara yang menegur dari luar pintu kamar pejabat saya.

"Beb." 

Sapa rakan sekerja dengan berdiri tegak di luar pintu kamar bilik saya.

Dengan sedikit menoleh, sambil lalu saya menjawab, "Ye yang."

 Tolehan pertama menampakkan sesuatu yang bukan kebiasaan, lalu saya menoleh kali kedua.
.
Allahu Rabbi, Ya Karim. 
Beliau berwajah baru. Berpenampilan baru.

Subhanallah. MasyaAllah. Tabarakallah. 
.
Beliau kini sudah berhijab.
.
Kisahnya, antara saya dengan beliau, tidaklah begitu rapat dan akrab.
Tetapi, dalam Organisasi kecil ini, kami bagaikan sebuah keluarga kerana hanya 20 orang sahaja di dalam syarikat ini.

Beliau memegang jawatan sebagai penolong pengurus bahagian korporat.
Beliau bertanggungjawab menguruskan hal-ehwal latihan para pengarah dan segala yang berkaitan dengan bahagian korporat syarikat.
.
Pernah satu ketika dahulu, lama dahulu, ketika saya membantu bahagian korporat menyelia persiapan latihan para pengarah, saya berdialog dengan beliau, tentang hijab.

Ya. Saya akui, beliau sama seperti saya dan gadis-gadis, wanita-wanita di luar sana, yang agak kekok mahu terus mengenakan tudung 'tanpa sebab' yang hati bersedia melakukannya.

Saya tahu rasa dan perasaan itu, kerana saya juga sebegitu.

Bezanya saya dengan dia, hanyalah MASA.
Saya sedikit awal menyedari keperluan berhijab, manakala beliau sedikit lambat menyedarinya dan mahu melakukannya.

Ketika itu, saya bertanya satu soalan yang saya ambil jalan mudah dan pantas, "Husband ko tak bising suruh pakai tudung?" 

Saya bertanyakan soalan itu kerana pada saya, beliau di bawah tanggungjawab suami beliau untuk mendidik dan membimbing beliau, maka, itulah persoalan pertama saya kepadanya.

Kedua, saya bertanya, "Kau sayang laki ko tak? Kesian dia tanggung dosa ko tak bertudung."

Itu yang sempat saya nyatakan.

Dan, seperti biasa, jawapan 'klise' orang yang tidak bertudung adalah, "Nanti dah sampai masanya, aku akan bertudung juga." (Ya, saya tahu jawapan itu, kerana itu juga jawapan saya dahulu. Hihihi).
.

Apabila hari ini, pagi ini, beliau datang dengan penampilan baru, saya teruja dan menjerit kecil.

Saya panggil beliau masuk ke bilik dan saya peluk beliau erat-erat.

Saya cium pipi kiri kanan beliau bertalu-talu.

Saya ucapkan kata-kata doa (pada ramadhan ketiga ini), dan mohon Allah Ya Samad terima doa ini.

"Babe. Tahniah. Alhamdulillah. Syukur. Aku doakan Allah Ya Barri permudahkan dan beri kebaikan yang lebih banyak kepada kau selepas ini. Aku doakan juga Allah Ya Ghaffar Ya Ghaffur Ya Affuw ampunkan dosa-dosa kau yang dahulu, kini dan akan datang. Aku doakan juga Allah Ya Ghoniy Ya Mughni limpahkan kekayaan yang banyak kat ko. Ketenangan jiwa, kaya harta benda, dan kaya ilmu yang bermanfaat. Tahniah tau. Sayang ko."
.

Ya. Ia adalah satu perasaan yang indah dan bahagia.
Kenapa saya begitu gembira?
Apa manfaat dan faedah untuk saya hingga saya gembira seumpama mendapat sebiji permata berharga?

Manakan saya tidak gembira.
Ya, saya tidak dapat berlian permata, tetapi saya mendapat kelapangan jiwa.

Setidak-tidaknya kami yang melihat dan berada dalam Organisasi yang sama, terlepas daripada dosa 'bersekongkol' dengan maksiat aurat apabila beliau tidak berhijab kerana kami membiarkan beliau berleluasa tidak menutup aurat.

Saya bimbang, di akhirat kelak, beliau akan soal semula kepada kami  yang sekadar memandang, membisu malah lebih buruk perangai, mengata belakang tanpa mahu menasihati beliau dengan sabar dan dengan kebenaran.
.
Maka itu, pastinyalah saya terlebih gembira, kerana tiada lagi dakwa-dakwi di akhirat kelak tentang isu aurat beliau yang saya akan ditanya Allah nanti. 

Dan setidak-tidaknya, mungkin, ada sedikit keinginan untuk saya mohon sedikit perkongsian syafaat dengan beliau sekiranya ada kata-kata baik saya yang mendorong beliau berubah dan memakai hijab (nak jugak tu pahala free... hihihi).
.
Menulis inipun, saya masih tersenyum gembira.
.
.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Friday, January 1, 2016

DOA 2016





 
“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahiim Ya Barr, Tuhan Yang Maha Pengasih Pemurah lagi Maha Baik. Wahai Allah Ya Wahhab Ya Razzak Ya Mu’iz, Ya Basith, Ya Nur Ya Haadi, Ya Samad, sesungguhnya hamba-Mu ini mohon, tambahkanlah buat kami rezeki-Mu, jangan Kau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan Kau hinakan. Lapangkan kehidupan kami, usah Kau sempitkan. Berikanlah kepada kami taufik dan hidayah-Mu, jangan Kau tahankan. Pilih kami ke arah kebaikan, jangan Kau biarkan lalai. Redai kami dan redai juga semua usaha dan urusan kami, dunia dan akhirat. Sampai syurga-Mu.

Ya Allah Ya Fattah Ya Alim Ya Wasi’, bukakanlah untukku dan keluargaku pintu-pintu kebaikan, pintu-pintu keselamatan, pintu-pintu kesihatan, pintu-pintu nikmat, pintu-pintu keberkatan, pintu-pintu kekuatan, pintu-pintu cinta sejati, pintu-pintu kasih sayang, pintu-pintu rezeki, pintu-pintu ilmu, pintu-pintu keampunan, dan pintu-pintu syurga. Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu untuk diri kami, ahli keluarga kami dan seluruh umat Islam akan semua kebaikan dunia dan akhirat.

Allah Ya Ghaffar, Ya Ghaffur, Ya Affuw, Ya Tawwab, Ya Ro’uf, ampunkan segala dosa-dosa kami, yang dahulu, sekarang dan yang akan datang, yang kami ketahui dan tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu dari semua kejahatan, yang kami ketahui dan tidak kami ketahui. Kami memohon syurga-Mu dan yang dapat mendekatkan kami ke sana, berupa perkataan dan perbuatan. Kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kami ke sana, berupa perkataan dan perbuatan. Kami pohon akan kebaikan kepada-Mu sebagaimana yang dimohon oleh Rasul junjungan kami, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam kepada-Mu. Dan sesungguhnya, kami berlindung kepada-Mu sebagaimana Baginda Rasul memohon perlindungan kepada-Mu. Dan kami memohon urusan yang Engkau tetapkan bagi kami, supaya dijadikan kesudahannya sebagai kebaikan dan kebenaran yang bermanfaat, di dunia dan akhirat.

Ya Allah Ya Hayyu Ya Qayyum Ya Khaliq, Tuhan yang Agung. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah diriku dan setiap urusanku dan jangan Kau serahkan aku kepada diriku waima sekelip mata.

Ya Allah Ya Wadud, berikanlah cinta-Mu kepadaku. Jadikanlah aku mencintai orang yang mencintai-Mu dan mencintai segala sesuatu yang membawa kecintaanku kepada-Mu.

Allah Ya Ghaniy Ya Mughni, anugerahkan kami kekayaan ilmu yang bermanfaat, harta benda yang berkat, serta ketenangan jiwa yang mendekatkan kami kepada-Mu dan jemput kami dengan tenang untuk kembali kepada-Mu dan masuk ke dalam syurga tertinggi-Mu dalam keadaan kami redha lagi Kau redhai. Makbulkanlah Allah Ya Mujeeb.”