Wednesday, January 21, 2015

Kisah 007: 2014-12-16 - Sekolah Anak-anak

Bismillah.

#KisahSuksesBAD - 16 December 2014 - Jawapan persekolahan anak-anak.

.
Kisah yang berlaku ini sudah agak lama, tetapi baru mahu diceritakan hari ini.

Kisah pada bulan December 2014.

Oleh kerana sudah berpindah ke Bangi, maka antara perihal penting yang perlu diambil kira adalah persekolahan anak-anak.

Sejak di Cheras lagi, Tuan Suami sudah 'risik' 3-4 sekolah di Bangi. Antaranya:
+ Sekolah Al-Amin;
+ Sekolah Rendah Integrasi Tahfiz Islam (SRITI);
+ Sekolah Rendah ABIM;
+ Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI);
= dan juga Sekolah Rendah Kebangsaan (tapi sememangnya ini tidak langsung termasuk dalam senarai pilihan saya. Saya cenderung kepada sekolah satu sessi yang ada kedua-dua subjek - Kebangsaan dan Agama + Tahfiz).

Dalam pencarian sekolah anak, saya mohon Allah permudahkan kami bertemu sekolah yang sesuai untuk anak-anak kami. Kami inginkan ilmu akademik serta agama sekaligus (sebab itu saya lebih cenderung pilih sekolah swasta yang menawarkan kedua-duanya serentak!)

Seperti yang diketahui, apabila kata Sekolah Swasta ~ pastinya RM menjadi taruhan.

Di sekolah lama anak-anak saya (Sek. Asy-Syakirin, Cheras) sudah pun naik bayarannya daripada RM300 kepada RM450. Begitu juga sekolah SRITI, ABIM dan Al-Amin, kadar yurannya lebih kurang RM400 sebulan.

Saya sendiri tidak mahu ambil pusing soal yuran bulanan, asalkan anak-anak mendapat pendidikan seperti yang saya mahukan.

Tetapi, jauh di sudut hati saya agak kebimbangan juga dengan kos persekolahan anak-anak. 

Mahu tidak, jika seorang anak RM450 x 2 = RM900.00 + pengangkutan + duit belanja = paling kurang sebulan dalam RM1500.00 sebulan (dengan keadaan yang akan melahirkan anak ke-5, perbelanjaan sekeluarga pasti meningkat. Allahu Allah!).

Namun, demi memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, saya terpaksa mengikut rentak keadaan.

Untuk ke sekolah kebangsaan, tidak ada dalam fikiran saya, kerana daripada sekolah swasta ke sekolah kerajaan, ia satu proses yang agak rumit. Banyak surat-meyurat yang perlu disediakan, sedangkan saya sudah kesuntukan masa untuk daftarkan anak-anak ke sekolah bagi sessi 2015.

**************************
BAD untuk dipilihkan sekolah anak

**************************

Pada awal December, Tuan Suami pergi ke setiap sekolah dan mengisi borang. 

Semasa mengisi borang permohonan, saya BAD. Mohon Allah permudahkan dan beri petunjuk sekolah yang terbaik untuk anak-anak saya serta mengikut kemampuan kami sekeluarga. 

Dalam ke-empat-empat sekolah, Tuan Suami beritahu bahawa SRAI hanya mengenakan bayaran sebanyak RM50.00 sahaja sebulan - itupun untuk belanja makan (kiranya, makan percuma jugalah! Tak perlu bawa duit belanja ke sekolah).

Ini kerana SRAI, meskipun sekolah berstatus swasta tetapi menjadi anak angkat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Bayaran yuran ditanggung sepenuhnya oleh pihak JAIS.

Wah! Ini berita menarik. 
Tetapi, kata Tuan Suami, syarat kemasukan ke SRAI agak ketat dan ada sessi temuduga.

Sekali lagi saya BAD. 
"Ya Allah. Permudahkanlah segala urusan. Sekiranya sekolah ini yang terbaik untuk anak-anak kami, mohon Kau berikan jalan mudah untuk melepasi apa juga halangan. Lorongkan jalan untuk anak-anak kami dapat daftar ke sekolah ini. Jika tidak, berikan ilham kepada kami sekolah yang mana baik untuk mereka dan untuk kemudahan kami sebagai ibu-bapa."

Semasa menghantar borang ke JAIS di Shah Alam, Tuan Suami bertanya kepada JAIS peluang untuk masuk ke sekolah tersebut. 

Pihak JAIS nyatakan, ia bergantung kepada:
1- Kekosongan di sekolah yang diminta (terdapat 9 SRAI dalam Negeri Selangor);
2- Rekod keputusan peperiksaan sekolah terdahulu (menepati garis panduan yang ditetapkan dan memenuhi syarat mata pelajaran dan markah kelulusan);
3- Sokongan sekolah terdahulu;
4- Displin pelajar (berdasarkan rekod sekolah lama);
5- Temuduga.

Amboi. Boleh tahan juga syarat-syaratnya. 

JAIS kata, 14 hari bekerja akan dapat jawapan samada dipanggil temuduga atau gagal.

**************************
Anugerah Tuhan
**************************

Setelah 14 hari menanti, Tuan Suami mendapat panggilan daripada JAIS untuk ke pejabat di Shah Alam. 

Pegawai bahagian kemasukan memberikan surat maklum balas kepada Tuan Suami.

Kejutan yang memang kami tidak sangka-sangka.

Menurut pegawai JAIS, anak-anak diterima masuk ke sekolah SRAI Bandar Baru Bangi tanpa perlu menduduki sessi temuduga kerana keputusan peperiksaan akhir mereka melebihi tahap lulus minima (80% bagi setiap subjek akademik dan 85% bagi setiap subjek agama. Terdapat 9-13 subjek yang ditetapkan syarat wajib lulus).

Allah! Allah! Allah!
"Maka nikmat Allah yang manakah yang harus kami dustakan?"

Allah telah membuatkan pilihan untuk kami. 
Subhanallah, Maha Suci Allah.

Saya tidak pernah terfikir bahawa ada terdapat sekolah yang saya impikan (subjek akademik dan subjek agama dalam satu waktu - jam 7.30pagi - 3.30 petang) serta sekolah swasta dengan kadar bayaran yang murah!

Rezeki kepada anak-anak saya (sungguh, saya tidak pernah tahu langsung dengan tentang SRAI, sehinggalah Tuan Suami khabarkan wujudnya sekolah ini di Selangor).

Jika di sekolah lama, saya perlu sediakan lebih kurang seorang RM1500.00 untuk pendaftaran hari pertama sekolah (untuk yuran pendaftaran dan buku latihan sahaja, tidak termasuk buku teks - kena beli sendiri!). Untuk 2 orang sudah RM3,000.00. 

Tetapi pada hari pendaftaran di SRAI, RM1000.00 sahaja belanja yuran untuk dua orang (termasuk yuran pendaftaran, buku latihan, dan peralatan pembelajaran seperti pencil warna, alat muzik, water color, set geometri, tali leher dan banyak lagi. Buku teks diberi percuma! Subhanallah!).

**************************

Pergantungan sepenuhnya kepada Allah, memberikan kemanisan dalam kehidupan seharian.

Allahu Akhbar Kabira. Sungguh saya bersyukur dengan anugerah Allah yang maha hebat ini.

Aturannya tidak terjangkau dek pemikiran hambanya yang kolot, kotor dan hina. 
Saya terharu dan malu dengan anugerah Allah. Sungguh saya bersyukur yang teramat sangat.


 (Wajah anak-anak yang diterima masuk ke SRAI BBB dengan izin Allah. Bangga dapat 'pow' bondanya untuk belanja makan Lai Chee Kang selepas balik sekolah pada hari pertama sessi persekolahan!)


B.A.D - memberi jawapan kepada persoalan yang adakalanya kita tidak pernah langsung terfikir akan penyelesaiannya.
.
.
Alhamdulillah. 
.
......... 



.

.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Wednesday, January 14, 2015

Kisah 006: 2015-01-14 - Handphone hilang dan mahu beli baru.

Bismillah.

#KisahSuksesBAD – 14.01.2015 – BAD ketika hilang handphone dan mahu beli handphone baru.

Sehari sebelum hari kelahiran saya iaitu pada 30.12.2014, ditakdirkan saya mengalami cirit-birit dan kekejangan otot (sering berlaku kepada saya pada bulan-bulan terakhir menanti waktu bersalin). Sewaktu bersiap mahu ke klinik, saya dapati handphone saya tidak ada pada tempat yang biasa saya letak.

Tidak mengapa. Saya fikir mungkin salah letak. Pada masa yang sama saya terus BAD.

”Ya Allah. Jika aku salah letak, mohon ingatkan aku di mana aku letaknya. Mohon temukan aku semula dengan handphone itu.”

Usai BAD, saya sudah tidak ambil pusing di mana saya letak hp saya. Saya meletak sepenuh kepercayaan sekiranya ia memang hak saya, ia akan kembali kepada saya. Jika sudah sampai masa hak itu Allah ambil dari saya, saya reda.

Saya dapat MC (cuti sakit) selama 2 hari. Rehat di rumah tanpa memikirkan hp yang hilang.

Pada esoknya, hari ulangtahun kelahiran saya (31.12.2014), saya mencari semula HP (bimbang juga sekiranya ada apa-apa mesej daripada Ketua / pejabat tentang urusan / perihal tugasan pejabat), malangnya memang tidak jumpa langsung. Puas diselongkar semua tempat yang berkemungkinan ada. Tetapi, tetap tidak jumpa.

Saya terusan BAD. Mohon Allah ilhamkan apa yang terbaik untuk saya lakukan.

Pilihan ketika itu, ada 2 aktiviti yang perlu saya lakukan:
1- Ke pejabat teleco, mohon sim kad baru;
2- Beli handphone baru.

Saya BAD sebelum melakukan dua aktiviti tersebut.
”Ya Allah. Jika benar sudah hilang, maka mudahkan aku beli hp baru dan tukar sim kad. Tapi, untuk beli hp baru, memang memerlukan kos dan sekarang peruntukan belanja keutamaan adalah untuk persekolahan anak-anak yang akan buka tidak berapa hari lagi. Juga untuk bersalin nanti. Bantu aku Ya Rabb. Dorongkan pilihan terbaik untukku. Bantu aku dalam ehsan dan rahmat-Mu.”

Ternyata, Allah tidak gerakkan / mudahkan perjalanan aktiviti saya untuk tukar sim kad dan beli handphone baru.

Allah tangguhkan niat saya untuk kedua-dua perkara tersebut.

Sehari ke sehari Tuan Suami mengajak saya untuk cari hp dan tukar sim kad tetapi hati saya menangguhkannya. Ada sahaja dalih saya apabila Tuan Suami mengajak. Sudahnya, saya leka dengan tidak mempunyai hp (serta tidak dapat dihubungi untuk satu tempoh jangka yang lama!)

Bonda menyuarakan pandangan bahawa ada kemungkinan handphone saya telah ’dibuang’ oleh anak bongsu saya yang berusia 1 tahun ke dalam tong sampah (berdasarkan kepada bukti terbaru, kaca mata bonda saya dibuangnya ke dalam tong sampah).

Namun, jauh di sudut hati, Allah seperti gerakkan keyakinan bahawa handphone masih ada di dalam rumah.

Hari berlalu. 3 minggu saya ’berkelana’ tanpa handphone bimbit (Oh, terasa amannya dunia... hahahaha).

Hujung minggu lalu, saya BAD.
”Ya Allah. Jika hp masih ada dalam rumah. Temukanlah. Jika tidak, maka hujung bulan ini, murahkan rezeki saya dan mudahkan saya beli hp baru.”

Bonda saya bertanya bila mahu beli handphone baru, saya katakan bahawa saya ada kekuatan rasa yang handphone masih di dalam rumah.

Dengan izin Allah yang Maha Kaya, Bonda digerakkan hati untuk mengalih perabot TV ke kedudukan baru. Subhanallah. Bonda temui handphone saya dalam ’lingkaran’ wayar astro (yang bergulung-gulung warna putih itu). Patutlah saya jenguk ke belakang TV tapi tidak nampak, rupanya diapit dalam gulungan wayar putih juga (hp saya berwarna putih, tanpa casing).

Allah. Allah. Allah. 
'Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?'

Benarkan?
Apabila kita Bertanya Allah Dahulu, DIA akan hadirkan dorongan dengan pelbagai jalan dan cara.

Panjang lagi rupanya jodoh saya dengan HP ini.
Allah berikan ehsannya supaya saya tidak perlu guna ’bajet’ bersalin untuk handphone. 



Screen saver berlatarbelakangkan gambar Bonda dan Ayahanda tercinta.
"Masih berjodoh kita, ye handphoneku." hihihi.

(Mesej Whatsapp sampai 1642, mak aiiii! Aduhai! Aduhai!)

Alhamdulillah. 

.
......... 



.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Kisah 005: 2014-12-13 ~ Masa untuk memberi.

Bismillah.


#‎TeknikBAD - Kisah 13.12.2014 - Diberi izin untuk memberi.

Selepas beberapa kali minta dan minta dan minta (terutamanya makan free), dan dizinkan Allah dapat dengan kadar segera, saya sangat berterima kasih kepada Allah. 

Malu pun ada juga. 

Asyik minta! minta! minta!

Justeru, kali ini, sebelum tidur, saya mohon pada Allah.

"Ya Allah. Kau terlalu baik. Banyak benar yang Kau beri pada aku. Banyak yang aku dapat dengan cepat. Terima kasih Ya Allah.
Tapi, kali ini, aku mohon, beri peluang untuk aku memberi pula kepada orang lain.


Tapi, aku tak tahu nak beri apa dan pada siapa. Aku tidak punya wang yang banyak untuk disedekahkan. Aku malas nak masak untuk bagi makan. Bantu aku, Ya Allah. Untuk beri apa yang Kau tahu ianya dalam kemampuanku. Datangkan seseorang yang boleh aku sedekahkan sesuatu itu. Tolong ye Allah yang baik."

Kemudian, saya tidur.

**********************************************

Hari ini (13.12.14), saya ke perpustakaan Universiti. Teman baik sefakulti saya juga turut bersama. 

Mahu cari jurnal/artikel bagi kajian PhD yang agak lama saya tinggalkan. 

Saya sudah ambil peperiksaan komprehensif dan sudah selesai mesyuarat jawatakuasa penyeliaan. 

Sahabat saya pula sedang bertungkus lumus untuk siapkan proposalnya. 

Semasa mencari bahan, tiba-tiba sahabat saya datang. Mohon bantuan saya untuk berikan kertas jawapan peperiksaan komprehensif dan slide proposal presentation mesyuarat jawatakuasa penyeliaan untuk ijadikan rujukan. Sudah buntu benar, katanya.

Alhamdulillah. Allah makbulkan lagi doa saya.

Terus saya copy dan paste semua file saya dalam thumb-drive dan beri kepada beliau. Lega hati apabila beliau dengan seronoknya menjadikan tugasan saya sebagai panduan.

Nah! Allah makbulkan lagi permohonan saya untuk memberi manfaat kepada orang lain. Bantuan yang dapat saya berikan kepada sahabat saya merupakan sedikit 'ilmu proposal PhD' yang Allah anugerahkan kepada saya. Itu adalah kemampuan saya pada ketika ini! 

Suka! 

Slide presentation saya - untuk rujukan beliau. 


Sahabat seperjuangan sedang meneliti slide presentation untuk proposalnya.

Alhamdulillah.


.
.........


.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Kisah 004: 2014-12-12 ~ Makan 'free' lagi.

Bismillah.

#‎KisahSuksesBAD - 12.12.2014 - Dapat makan free (lagi). 

Ragam mak buyung yang M.A.L.A.S M.A.S.A.K!

Subhanallah.

Rezeki 'mak buyung' Allah beri berganda-ganda. Apatah lagi dengan yakin kepada BAD. 

Sungguh, Allah permudahkan banyak urusan dan makbulkan banyak permintaan. 
Allahu Akhbar Kabira. 
Alhamdulillah.

Kelmarin. Boss kata mahu masuk pejabat selepas solat jumaat. 

Justeru itu, saya malas nak keluar makan tengahari. 

Usai solat zohor, perut terasa lapar!

Semasa mahu habiskan surah al-kahfi, semakin perut berkeroncong!

Hajat hati mahu turun ke cafe beli makanan. Elok sahaja habis bacaan dan kembali ke meja kerja untuk ambil dompet, Boss masuk! 

Aduhai.

Jam baru pukul 2.15pm.

Boss duduk di hadapan saya, membaca surat khabar sementara menanti tetamu yang ada temujanji jam 3.00 petang. 

Masa itu saya BAD. 

"Ya. Allah. Aku lapar sangat. Boss dah masuk. Tak apalah Ya Allah. Demi tugas, aku reda. Tapi, aku nak minta makan free malam ni. Tak mahu masak. Tak mahu bungkus. Takpelah kalau kena salin baju untuk keluar makan. Janji ada orang nak belanja makan. Boleh ye Ya Allah. Allah baik. Allah mesti kesian kat mak buyung ni. Aku tahu aku banyak meminta. Tapi, tolong Ya Allah. Makbulkan. Amin."

Jam 3.00pm, tetamu Boss sampai. Dan Boss masuk ke biliknya untuk mesyuarat. Saya teruskan kerja.

Kemudian, ada mesej whatsaap masuk. Daripada group family. 



Oh! Oh! Oh!

Kakak saya mahu belanja makan malam!

Dia minta pilih tempat. Bestnyaaaa!!!

Lagi menariknya - anak saudara saya yang masuk hospital pun sudah boleh keluar. Dan mereka turut serta untuk makan malam. 

Malam itu, kami dapat nikmati Western Food. Mak buyung dengan senang hati, tak perlu masak! Bawa perut sahaja! Makan free! hehehehe.




Menu mak buyung! hihihi.



Alhamdulillah. 

.
.........



.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Kisah 003: 2014-12-11~ Makan malam tersedia.




Bismillah.

#‎KisahSuksesBAD - 11.12.2014 - Makan malam tersedia. Tak payah masak!

Sejak berpindah ke Bangi (dekat dengan rumah kakak), bonda dan ayahanda setuju untuk tinggal bersama saya (selang seli di rumah kakak juga, yang jaraknya hanya selang 2 pagar. Ya, kami berjiran! hehehe).

Kelmarin, Bonda ikut Pak Chaq melawat Pak Long yang kurang sihat di Kuantan. Ayahanda tinggal di rumah saya (tidak mahu ikut kerana beliau juga kurang sihat). 

Petangnya, saya dapat mesej daripada Bonda. Menyatakan beliau tidak pulang ke rumah (sebaliknya akan tidur di rumah Pak Chaq).


Bonda meminta tengokkan ayahanda (makan minumnya). Saya iyakan sahaja. Konon bercadang mahu buat steambot (tapi pastilah kena keluar beli barang-barangnya!!!)



Lewat usia kandungan mencecah 7 bulan ini, saya memang agak 'malas' untuk masuk dapur. Sejurus dapat mesej Bonda, hati sudah terdetik, mahu bawa ayahanda makan di luar sahaja untuk makan malam nanti.
Tapi, untuk keluar selepas sampai rumah, pun saya 'M.A.L.A.S' (aduhai! kondisi mak buyung sekarang ini sangat kritikal malasnya! Allahu Allah!)

Dalam perjalanan pulang, saya BAD.

"Ya Allah. Mak tak balik malam ni. Nak kena masak, aku malas sangat Ya Allah (mengaku terus kepada Allah! huhuhu). Nak keluar pun, malasnya nak salin baju, nak bawak bebudak kecil tu semua makan kat luar (lagi, mengaku kelemahan diri! haish!).
Tapi, tak ada apa nak makan kat rumah tu. Kesian ayah! Mudahkan bagiku apa juga cara supaya aku tak payah keluar. Ya Allah. Aku minta maaf sebab malas sangat sekarang ni. Tapi, memang aku tak larat nak masak". 

Usai BAD, saya bertanya suami, makan malam nanti bagaimana memandangkan Bonda tidak pulang (biasanya Bonda yang menyediakan makan malam... hehehe).

Suami kata, beli bungkus sahaja.

Alhamdulillah.

Selesai. (Saya jangkakan, itu jawapan Allah kepada BAD).

************************************

Rupa-rupanya, BUKAN itu yang Allah mahu beri kepada saya. TIDAK!

Ia malah LEBIH daripada itu!


Sejurus kereta masuk ke pakir rumah, dapat mesej daripada kakak saya. 


Oleh kerana Selangor cuti (saya kerja di KL, kakak di Selangor), makanya beliau sudah siapkan makan malam.

N.A.S.I T.O.M.A.T.O! 


Fuyooooo. 

Memandangkan malam semalam ada perlawanan bola, kakak saya ajak semua berkumpul di rumahnya.
Selain daripada menikmati nasi tomato, ada juga tit-bits yang lain yang disediakan. Bestnya!

************************************

Subhanallah!
"Maka nikmat Tuhanku yang manakah yang aku dustakan?"


************************************

Bukan sahaja tak perlu masak,
+ tak perlu juga salin baju jalan (setakat sarungkan jubah sahaja! hihihi)
+ Tak perlu keluar ke pasaraya!
+ Tak perlu beli bungkus!
+ Tak perlu kemas meja makan!
+ Tak perlu keluar duit!
-- Bawa perut sahaja! hihihi

.
Alhamdulillah.
.
.
.........


.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Kisah 002: 2014-12-08 ~ Pow duit dari Allah.

Bismillah.

#KisahSuksesBAD: 8-12-2014: Pow duit daripada Allah. 

Minta RM300,000.00 – belum dapat
Minta RM250.00, dapat RM300.00 – Alhamdulillah

1 – Minta RM300,000.00 – belum ditunaikan

Melihat penyata Bank Negara (hutang tertunggak!). Aduhai. Termasuk dengan baki hutang rumah dan hutang luar penyata, adalah kira-kira RM300,000-00 yang perlu dibayar.

Ya! Saya berazam untuk bebas hutang dan bebas kewangan sebelum usia 40 tahun (Allahu Allah! Sudah menginjak ke tua rupanya!). Dan bersemangat untuk mengejar kebebasan pahal, sebagai bekalan akhirat nanti (mohon Allah izinkan dan permudahkan. Aamiin).

Usai solat, saya BAD, minta pada Allah untuk diberikan cara dan rezeki yang halal lagi diredhai-Nya untuk saya langsaikan hutang-hutang tersebut.

Saya mahu ‘pow’ Allah sebanyak RM300,000-00 bagi tujuan ‘pemansuhan hutang piutang’ (yang ada antaranya berunsur riba’ – % interest melebihi hutang pokok! Bank!)

“Ya Allah. Aku mahu bayar hutang-piutang yang sedia ada ini. Aku mahu hidup dengan bebas hutang terutamanya yang melibatkan riba’ bank. Ya Allah. Permudahkan jalan dan berikan ilham kepadaku untuk melangsaikannya menurut jalan yang Kau redhai.”

Tetapi. Belum dapat jawapan lagi. Hihihi.

2 – Minta RM250.00 dapat RM300.00

Kelmarin, saya dapat notis sms minta bayaran ke atas satu perkara (maaf kerana saya mohon untuk tidak menyatakannya). Sebanyak RM107.00 perlu dilakukan sebelum 10.12.2014.

Kelmarin juga, pihak pejabat membuat pemberitahuan untuk mengadakan satu ‘majlis’ pada 11.12.2014, dan setiap pekerja perlu membeli ‘sesuatu’ pada hari tersebut. Sebanyak lebih kurang RM100.00 lagi diperlukan.

Aduhai. Pada waktu sebegini, peruntukan yang ada adalah untuk persekolahan anak-anak, dan persediaan bersalin (dijangka bulan 2 tahun hadapan).

Justeru, bayaran ‘terkejut’ yang datang bukan dalam senarai perlu bayar, adalah amat ‘merimaskan’. Usai solat asar, saya BAD.

“Ya Allah. Aku mohon RM250.00 untuk aku bayar ‘itu’ dan ‘majlis itu’. Mohon bantuan-Mu Ya Allah. Aku tiada peruntukan untuknya. (Memang sengaja saya minta lebih – padahal saya perlukan RM200 sahaja! Melampaukan?!)

Pagi ini, sebelum ke pejabat, bonda menghulurkan RM100.00. Kata Bonda, dia baca ‘surat’ yang meminta saya bayar RM107.00 (Bonda memang akan membuka atau membelek semua surat anak-anaknya. Waima apa juga urusan kami – tiada rahsia yang boleh terlepas daripada pengetahuannya). Alamak! Malunya!

Alhamdulillah. Situasi pertama selesai!

Sampai di pejabat, lewat petang bos masuk (sepatutnya dia tidak masuk pejabat hari ini). Saya nyatakan kepada bos tentang ‘Majlis’ tersebut. Dan, bos hulurkan RM200.00 untuk saya beli ‘apa-apa’ yang patut!
Wah! Alhamdulillah. Ini bermakna, saya tidak perlu mengeluarkan kos atau simpanan saya untuk dua perkara tersebut.

Alhamdulillah. Subhanallah. Allahu Akhbar Kabira.

“Maka nikmat Tuhan yang manakah yang mampu saya dustakan?”

Gambar: Not RM300 – untuk saya selesaikan kedua-dua urusan tersebut.
.
.
Alhamdulillah.
.
.

.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Kisah 001: 2014-12-04 - Kek yang tiada menjadi 3

Bismillah.

‪#‎KisahSuksesBAD‬ - 04.12.2014 - Sepatutnya tiada - menjadi 3!

‪#‎AplikasiTeknikNabi‬
‪#‎AplikasiReda‬

Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akhbar Kabira.

Sungguh.
+ Bersama jemaah sahabat wangi, harumnya terpalit juga.
+ Banyak berguru tidak pernah merugikan.

Gabungan Teknik BAD, Teknik Mendoakan Kebaikan (Teknik Nabi), dan Reda ternyata amat membahagiakan.

(Nota: Teknik Mendorong Cara Nabi saya mula praktikkan sejak mengikuti Bengkel yang dikelolakan oleh Ustazah Siti Khadijah yang bijaksana - maklumat lanjut boleh berhubung dengan Ustaz Tuan Asyraff Hafdzan Abdullah yang budiman). 

*******************

Suka saya menceritakan perihal yang berlaku kelmarin.

Kelmarin adalah Ulangtahun Anakanda saya yang ke-2.
Saya sudah menempah kek untuknya.

Sepatutnya kami perlu ambil kek pada jam 6.30 petang (saya juga tidak perasan kedai kek itu tutupnya jam 7.00malam).

Dijadikan cerita, kelmarin suami saya ada latihan dan agak lewat menjemput saya. Kami tiba di kedai kek tersebut pada jam 7.00 tepat.

Terkejut bukan kepalang apabila kami dapati kedai kek sudah tutup!

Segera saya menelefon pengurus kedai, tetapi talian tidak berjawab.

* Pada ketika ini saya mula aplikasikan B.A.D - saya mohon dalam hati:
"Ya Allah. Jarang sekali aku tempah kek untuk Zaqwan. Kali ini aku teringin menunaikan permintaannya supaya dapat potong kek ulangtahun. Bukakanlah jalan untuk aku dapatkan kek yang ditempah ini, Wahai Allah yang baik. Permudahkanlah. Ameen."

Dan, saya menghantar sms ke nombor pengurus kedai.

Sejurus selepas itu, saya mendapat balasan SMS daripada pengurus kedai. Diberi nombor pekerjanya.
Suami saya telefon nombor yang diberi, seorang lelaki menjawab. Katanya semua pekerja sudah pulang. Suami meminta ehsan dan bantuan untuk menbantu kami dapatkan kek tersebut. Katanya, dia akan 'cuba cari jalan'.

** Ketika ini pula, saya ingat akan ceramah Ustaz Badlishah yang sentiasa menjadi pegangan saya dan suami dalam memahami erti 'reda'.

"Yang baik tidak semestinya baik. Yang buruk tidak semestinya buruk."

Memandangkan waktu maghrib juga sedang beransur, bimbang lewat menunaikan solat semata-mata kerana urusan duniawi yang tidak penting, kami terus sahaja pulang ke rumah.

Saya sudah tidak kisahkan sangat perihal kek itu.

Bagi saya, apa juga ketentuan yang Allah takdirkan, pasti ada hikmah dan manfaat. Saya reda.
Sebaik pulang, usai solat maghrib, anak saudara saya, Fatin, (13 tahun. Kakak saya tinggal berhampiran) datang ke rumah membawa sebiji kek. Katanya, "Mak Ngah. Kakak buat kek untuk birthday Zaqwan. Kek butter." 

(Memandangkan cuti sekolah, ada sahaja aktiviti 'masak-masak' yang budak-budak ini lakukan - sungguh saya tidak sangka semalam mereka berpakat mahu masak kek!)

Allahu Allah!

Maka nikmat Tuhan yang manakah yang mahu saya dustakan? Sekurang-kurangnya ada juga 'kek' untuk dipotong zaqwan.

Sejurus selepas itu, masuk pula satu sms. Saya buka dan baca.

Terkejut bukan kepalang kerana salah seorang pekerja kedai kek memberikan mesej kepada saya (seperti 'caption' yang tertera).

*** Di sini, saya aplikasikan Teknik Mendoakan Kebaikan Cara Nabi (Bengkel Mendorong Menggunakan Teknik Nabi).

Oleh kerana saya tidak tahu sama ada beliau lelaki atau perempuan, saya gunakan gantinama 'anda' - lebih selamat.

Saya minta suami saya pergi ke kedai (memandangkan banyak urusan makan minum yang perlu saya uruskan di rumah). Zaqwan ikut sama untuk mengambil keknya.

Sebaik pulang, sekali lagi saya terkejut dengan pemberian dan ehsan Tuhan.

Anakanda Zaqwan masuk ke rumah dengan jeritan kesukaan. Katanya "Ibu. Abang dapat 2 kek! Orang kedai tu bagi!"

Suami menambah, "Budak kedai tu kata, mereka minta maaf sebab tak call kita untuk beritahu kedai tutup awal hari ni. Jadinya dia bagi satu kek lagi, hadiah dan tanda minta maaf."

Allahu Allah!

Sepatutnya saya yang minta maaf sebab menyusahkan mereka perlu datang semula ke kedai semata-mata untuk berikan kek tersebut. Sebaliknya kami pula yang mendapat imbuhannya.

Saya doakan kedai kek tersebut akan berkembang maju dan sentiasa dalam rahmat dan reda Allah. Ameen.

************************

Makanya, kek yang sepatutnya TIADA pada hari kelmarin, bertukar menjadi 3 yang dihidang di atas meja!
Melihatkan keajaiban dan anugerah yang Allah berikan, maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? (Sungguh! Saya tidak dapat menahan sebak memikirkan kebaikan Allah!)

Sungguh benarlah!

Usaha pertama ~ BERTANYA ALLAH DAHULU!

Baru teruskan dengan usaha lainnya.

ALHAMDULILLAH.

Jazakillahu khairan khathira Cikpuan Insyirah Azhar yang bijaksana atas usaha menyebar-luaskan teori yang sangat baik untuk dipraktikkan ini. Keberkesannnya jelas nyata. Syurga firdaus didoakan untuk cikpuan. Ameen.

Allah rahmati cikpuan serta semua warga ‪#‎WRTClan‬ dengan diberikan ganjaran kebaikan yang banyak-sebanyaknya kepada semua, dunia dan akhirat, sampai syurga. Ameen.

Saya doakan kita dapat berkongsi manfaat dan berbahagi syafaat atas asbab ilmu yang diilhamkan Allah ini. Allahumma Amin.

.
.
Nota gambar:

Gambar 1- Dialog bersama Pengurus Kedai.

Gambar 2- Mesej daripada pekerja kedai.

Gambar 3- Dialog sambungan dengan pekerja kedai.

Gambar 4- Wajah ceria anakanda Zaqwan yang mendapat 3 KEK Ulangtahun.

Gambar 5- Birthday Boy dikelilingi oleh sanak saudara yang datang memeriahkan 'majlis' kecilnya itu.


Subhanallah.

...........


.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-

Permulaan B.A.D

Bismillah.

B.A.D adalah singkatan kepada Bertanya Allah Dahulu.
(Maklumat lanjut, sila rujuk Blog Teknik BAD).

Benar, ia bukan ilmu baru - cuma diberi nafas baru dalam teori, praktikal, polisi dan perlaksanaannya.

Saya temui 'teori'/ ilmu ini pada FB Tuan Asyraff Hafdzan Abdullah yang memanjangkan ilmu B.A.D daripada ilmu yang disebar-luaskan oleh Cik Puan Insyirah Azhar.

Teori BAD ini jarang diperhalusi meskipun kita sering melakukannya.

Bagi yang membaca e-book BAD yang ditulis oleh Cik Puan Insyirah, pasti ada yang merasakan bahawa sudah lama melakukannya tetapi mungkin tidak secara konsisten.

 Ebook Bertanya Allah Dahulu


Istikharah!
Ya, kita pasti sering melakukan istikharah. Solat dua rakaat mengadap Allah bagi menunjukkan jalan mengatasi kebuntuan yang sedang kita hadapi.

Ia juga salah satu daripada teknik B.A.D.

Tetapi, dalam #teknikBAD yang diwar-warkan oleh Cik Puan Insyirah melalui teori ini, adalah meminta / berdialog dengan Allah dahulu, dan pada setiap masa dan ketika.

Yakni, meletakkan Allah dahulu, bukan sebagai jalan terakhir apabila telah menemui jalan buntu.

Biasanya kita meminta kepada Allah apabila kita rasa kudrat kita sudah tidak berupaya. Minda kita sudah tidak mampu meneka. Akal kita sudah tidak lagi boleh berfikir. Keupayaan kita hilang dan kita tewas, sedih, resah dan pilu untuk melalui ujian yang berserabut.

Tika ini, biasanya Allah adalah hala tuju ikhtiar 'terakhir' kita.

Ini adalah kaedah yang mahu diubah dalam #teknikBAD.

Kita tidak mahu BAT - Bertanya Allah Terakhir, tetapi, kita mahu BAD - Bertanya Allah Dahulu.

Mahu lebih jelas?

Dapatkan penerangan lanjut dalam e-book Bertanya Allah Dahulu.

(Boleh hubungi Cik Puan Insyirah - email: insyirahazhar.ia@gmail.com - untuk mendapatkan / membeli naskah B.A.D).

Nota:
Jangan pernah bertanya kepada akal!
Kerana ianya terhad.
Tanya terus kepada Allah,
kerana DIA penentu takdir hamba!

***********************

Setakat ini dahulu sebagai salam permulaan.

InsyaAllah, akan ada kisah saya dan #KisahSuksesBAD yang akan saya nukilkan di sini.
Sebagai tatapan diri dan kepada kalian yang sudi menjadikannya sumber inspirasi.

Mohon ada ilmu yang telah disebarkan, ada manfaat yang boleh dikongsi dan ada syafaat yang dalam penilaian Allah di akhirat nanti.

Amin. 

***********************

Sesungguhnya banyak pilihan dalam hidup ini.

Pilihan di tangan kita.
Maka, pilihlah!
Pilih pilihan yang mampu meraih reda Allah.
Pilih kerana Allah.
Semata-mata kerana Allah.
Dan kepada Allah kita berserah.

Tanya kepada Allah, apa yang baik yang dalam izin-Nya.
Yakinlah,
tidak akan terjadi sesuatu perkara,
baik yang bermanfaat,
atau yang mendatangkan mudarat,
selain daripada ianya dalam izin Allah.

Bismillahi tawakaltu Allallah.

***********************


.
Haza tafadhol ArRabbi Rahiim.
(Nikmat ini adalah ehsan Tuhanku) 

Salam takzim.
-KakTiny-